Friday, December 30, 2016

Azam dan matlamat 2017


Bismillahirrahmanirrahim..



Assalamualaikum.


Tahun 2016 akan melabuhkan tirainya, sehari saja lagi. Adakah aku rasa gembira untuk melangkah ke tahun 2017?. Tidak. Aku rasa kesal, menyesal dan sedih.. kesal kerana matlamat dan azam tidak tercapai. Menyesal dengan dosa-dosa yang aku lakukan, tidak kira dalam sedar mahupun tidak sedar. Sedih, apabila usia menginjak setahun lagi..bermakna jarak dengan pengakhiran hidup semakin dekat sedangkan aku tak punya banyak bekalan amalan. Allahu..Moga Engkau beri kesihatan yang baik padaku dan panjangkan usiaku, supaya aku dapat mencari redhaMu, ya Allah dan jauhi dari sikap malas dalam beribadat.



Azam dan matlamat 2016 yang tidak tercapai :

1. Kurus.

2. Baca buku 50 buah.
3. Buat rak buku DIY.
4. Puasa Isnin & Khamis.
5. Solat sunat rawatib.

Azam dan maklamat 2016 yang tercapai :
(Alhamdulillah)
1. Solat Dhuha setiap hari.
2. Qada solat fardu selepas solat fardu.
3. Baca Al-waqiah dan Al-mulk hampir setiap malam.

Azam dan matlamat 2017




Semoga dipermudahkan oleh Allah untuk mencapainya, In sha Allah.



Cahaya Humairah
30 Rabiul Akhir 1438H
30 Disember 2016M
13.10pm

Friday, October 07, 2016

Tinta dari Hati ; Redha.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum.

Redha.


Banyak mana aku mengeluh
Banyak mana aku merintih
Banyak mana aku menyalah
Tidak akan mengubah
Kerana ia, takdir.

Redha.
Dalam hati
Mulanya sukar
Mulut tempayan mana boleh ditutup
Mulut murai mana bisa didiamkan
Hendak adu pada bonda
Aku tidak kuat.

Ya Malikul Mulk
Hanya kepada Engkau
Sang penguasa alam semesta
Maha dengar dan maha tahu segala

Ya Mu'izz
Kuatkan hatiku
Tulikan telingaku
Dari mendengar kutuk, caci mereka
Yang tidak pernah tahu
Yang tidak mahu mengerti
Apa yang aku lalui
Apa yang aku rasai
Apa yang aku tempuhi

Redha.
Aku benar-benar redha.
Ikhlas.
Moga ada keindahan
Menantiku
Jika tidak di alam sini
Di alam sana sudah pasti.




Cahaya Humairah.
6 Muharram 1438H
7 Oktober 2016
12.15pm





Thursday, October 06, 2016

Susah.

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum.

Usai membaca kisah seorang tokoh perniagaan di sebuah laman sesawang tentang kesusahannya dulu, aku terkenang masa-masa kecilku. Ya, aku pernah merasa hidup susah, pengalaman itu mengajar banyak benda untukku berdikari. Semua kemahuanku, aku akan usahakan sendiri bagi mendapatkanya. Waktu itu aku tinggal di kampung. Ayah bekerja sebagai kerani di Syarikat Komunikasi. Gajinya tak seberapa hanya tiga angka.  Ibu membuat pelbagai kerja untuk menampung perbelanjaan. Ibu menoreh getah di kebun atok, membuatnya menjadi getah sekerap dan menjualnya. Ibu juga membuat kuih muih, di sebelah pagi, kuih muih itu diletakkan di kedai runcit kecil dan di sebelah petang, aku dan kakak membawanya ke sekolah agama untuk dijual pada rakan-rakan dan guru agama. Aku masih ingat lagi, kuih-muih itu, ibu letakkan dalam raga rotan yang bertutup. Kami sering diejek membawa ular ke sekolah oleh murid-murid lelaki. Tetapi sikit pun tidak menjadi kudis. Kuih yang selalu kami jual adalah pulut panggang, popia goreng, ketayap, cucur badak, kuih gelang dan cucur udang bersoskan sos cili homemade (kami panggil kuih gogo). Kuih yang laku keras, adalah kuih gogo. Pernah kami bawa kuih gogo bersos kuah kacang, kami terima banyak complain dari rakan-rakan. Ibu belajar buat kuih dari nenek (sebelah ibu) yang juga menjual kuih. Apabila arwah atok dan opah meninggal, kami berpindah ke pekan tinggal di rumah pekerja, ibu kemudiannya bekerja di kilang getah, pengutip cukai tempat letak kereta dan kedai makan. Kasihan ibuku dari kecil hidupnya susah, semoga ibu diberi kesihatan yang baik dan dipanjangkan usia supaya aku dapat berbakti membalas budinya.

Aku masih ingat, kesusahan- kesusahan itu. Rumah kami tidak punya tandas hanya bilik mandi. Di sewaktu kecil, aku akan melepaskan hajat ke tanah, kemudian atok akan menanamnya, apabila berusia 6-8 tahun, kami akan ke sungai belakang rumah jiran, dan tiada rumah di situ hanya pokok-pokok yang hijau. Kami akan pergi ke hulu sungai, mencari tempat agak tersembunyi dan apabila malam, di hujung bahagian atas rumah, ada lubang di bawah tikar, itulah tandas kami (pada waktu kecil) keesokan harinya, atok akan menanamnya dan bila sudah ada perasaan malu, tandas kami dalam bilik mandi. Apabila kakak menginjak usia dalam 9-10 tahun, barulah tandas dibina diluar rumah.

Rumah kami tidak punya dapur gas. Kami hanya menggunakan dapur minyak tanah, dapur arang dan dapur kayu sehingga usiaku dalam 11 tahun. Jadi kerja-kerja memasak, adalah tugas ibu, kami hanya diarahkan untuk mengemas rumah. Aku sering mengular kerana rumah pusaka itu sangat luas. Aku akan memilih untuk menyapu di tingkat atas. Aku sering tipu ibu, konon-konon aku sudah lakukannya tapi aku hanya duduk di tingkat atas untuk beberapa waktu sebelum turun. Kami makan apa yang dimasak ibu dan opah tanpa banyak soal. Paling gembira apabila ibu ada duit lebih, ibu akan ke pasar malam, baru kami dapat merasa burger atau kebab, itupun burger dan kebab itu dipotong sama rata untuk kami kongsi. Itulah makanan paling mewah bagi kami. Pernah suatu hari, ibu pergi mengambil bekas dan duit kuih yang dijual di kedai runcit. Ibu terus ke pasar malam, dalam perjalanan pulang ibu terjatuh dari motor semasa melalui titi kecil, ketika itu  hujan lebat baru sahaja berhenti. Air sungai deras dan dalam, burger yang ibu beli tercampak ke dalam sungai bersama-sama bekas kuih. Syukur kerana bukan ibu jatuh ke dalam sungai. Sehingga sekarang, ibu sering mengulang-ulang kisah itu kepadaku. Aku tahu ibu sedih apabila sampai di rumah dan melihat wajah anak-anak yang masih kecil yang sedang menanti dan masih belum mengerti. :'(

Bagi mencuci kain dan pinggan mangkuk kami akan mencucinya di sungai. Bukan tiada bekalan air, tetapi untuk berjimat. Aku masih ingat ibu meletakkan kain atau pinggan mangkuk dalam besen besar kemudiannya meletakkan kain batik yang telah dililit di atas kepala, sebagai alas untuk meletakkan besen, seperti wanita-wanita Afrika yang sering dilihat di kaca TV. Aku dan kakak pula akan membawa pakaian sendiri yang dikumpul di dalam baldi selama seminggu untuk dicuci sendiri. Pernah terjadi, ibu meletakkan kain baju kami dalam baldi di tebing sungai untuk kami cuci selepas pulang dari sekolah agama, tetapi hujan turun dengan lebat, habis semua pakaian di hanyutkan arus air yang dalam dan deras.

Begitu juga untuk mandi, kami akan mandi di sungai. Dahulu, air sungai dalam dan kami sudah pandai berenang sejak kecil. Kami akan mandi beramai-ramai bersama adik beradik dan kakak-kakak jiran. Apabila orang perempuan sedang mandi, orang lelaki akan mandi di hilir sungai. Sungai tersebut berliku-liku dan tebingnya dipenuhi pokok-pokok rendang. Jadi, tiada siapa nampak jika mandi di hulu dan di hilir sungai. Pernah kami dan beberapa kaum ibu terpaksa mandi di hilir kerana ada lelaki bujang mandi di hulu sungai, ketika sedang mandi tiba-tiba sisa kumbahan hanyut dari hulu sungai dan kami semua kelam kabut naik ke tebing sungai. hahaha. Bayangkan kaum ibu yang sedang mencuci kain, kalut-kalut menarik kain basuhan mereka. Kurang asam kan.. :D

Aku masih ingat permainan masa kecilku, tidak pernah dibeli di kedai-kedai. Kalau adapun pemberian saudara mara yang tinggal berdekatan. Aku dan kakak selalu bermain konda kondi, jengket-jengket, congkak yang lubangnya kami korek pada tanah di laman dan buahnya adalah biji-biji getah yang dikutip di kebun getah atok. Adakalanya, aku dan kakak akan ke rumah jiran agak jauh untuk bermain rounders dan polis sentri bersama dengan rakan-rakan sekampung. Akan tetapi aku lebih suka bermain di laman rumah  bersama adik beradik, kadang-kadang bermain basikal bersama anak-anak jiran terdekat, sambil membantu ibu apabila diperlukan.Ibu akan menyuruh kami mengutip pucuk ubi, pucuk pacu, cendawan kulat untuk dibuat lauk, pernah kami temui di atas tanah di kebun atok, sesuatu bertompok-tompok putih sebesar 2-3 genggam orang dewasa, apabila ditanyakan pada opah, opah kata itu susu harimau dan harimau ada berdekatan susunya itu dan cerita opah itu, membuatkan aku rasa takut untuk ke kebun getah atok lagi. Apatahlagi, aku pernah mendengar cerita ibu yang pernah terserempak dengan harimau akar ketika menoreh getah. Tetapi, kemudian ibu memberitahu tompok-tompok putih itu sebenarnya cendawan susu harimau dan tiada harimau berdekatan seperti dimomok-momokkan opah. Bila tiba musim buah pula, kami akan membantu mengutip buah durian, langsat, rambai dan manggis untuk dijual kepada peraih yang datang ke rumah. Aku masih ingat. Ketika itu, buah langsat akan berbuah pada musim durian dan ada sebatang pokok langsat bersebelahan pokok durian. Pernah terjadi, ketika leka mengutip dan mengumpul buah langsat yang dipetik peraih, buah durian tiba-tiba jatuh. Mujur, aku sedang tunduk, buah durian itu juga tidak besar mana dan jatuh di bahagian belakang badan, nasib baik bukan di kepala. Lukanya tidak serius dan berbentuk bintik-bintik.

Aku gembira dengan kehidupan, waktu kecilku dalam suasana kampung yang damai. Walaupun, seringkali tercuit juga rasa cemburu melihat sepupu-sepupu sebelah ayah yang lahir dalam keluarga yang ada-ada, apabila mereka pulang ke kampung. Seringkali juga aku berkecil hati dengan isteri pakcik-pakcik ku yang seolah-olah memandang hina kemiskinan kami. Kadang-kadang ada sahaja kata-kata mereka yang mengores hati ibu. Mereka tidak pernah susah, lahir dari keluarga yang senang dan berkahwin dengan abang-abang ayah yang kerja bagus-bagus di Kuala Lumpur. Ya, aku pernah bertanya sendiri dan menyalahkan takdir, kenapa ayah tidak seperti abang-abangya hidup senang, kerja bagus. Anak-anak mereka tidak perlu bersusah payah sepertiku. Kekecewaan itu, aku pendam bertahun-tahun lamanya sehingga hubunganku dengan ayah menjadi renggang. Kini, aku mahu rapat dengan ayah sepertimana melihat rakan-rakanku bersama-sama dengan ayah mereka, tetapi ruang masa selama lebih tiga dekat itu menyukarkanku. Kami sangat-sangat jarang bergelak bergurau senda. Hanya bercakap ketika perlu sahaja dan sering bercanggah pendapat. Tapi, aku bersyukur, walaupun tidak rapat, Allah masih memberiku peluang untuk berbakti pada ayah. Allah takdirkan aku tinggal bersama ayah dan ibu sehingga kini di usia 30-an. Alhamdulillah, aku anggap ini peluang untuk aku memperolehi pahala. Aku tidak punya banyak wang untuk bersedekah, tetapi aku punya sedikit wang untuk menanggung ibu ayahku dan Allah cukupkan rezeki itu. Aku berharap hubungan aku dengan ayah akan bertambah baik. Allah ampunkan dosaku, yang sering terkasar bahasa dengan ayah dan aku telahpun memohon ampun pada ayah, dan aku harap ayah tidak menyimpannya di dalam hati. Sekarang, aku kurang bercakap dengan ayah bukan kerana benci tapi, aku takut tergoreskan hati ayah tanpa sengaja. Aku harap ayah akan faham. Ketahuilah, ayah sentiasa dalam doaku setiap kali usai solat.

Cahaya Humairah
5 Muharram 1438H





Wednesday, October 05, 2016

Tinta dari Hati ; Fajar

Bismillahhirahmanirrahim..

Assalamualaikum..

Fajar

Sebelum Fajar aku dikejutkan
Tanpa ada suara yang memanggil
Tanpa bunyi bising jam penggera
Kantuk ku lenyap

Aku tahu
Engkau mahu dengar
Aku merintih
Aku mengadu
Aku memohon

Maka itu, Tuhan
Aku qiam, rukuk , sujud..
Dan menadah tangan
merintih, mengadu dan memohon
Sehingga suara muazzin kedengaran
Perkenankanlah.

Kamu mahu tahu
Apa aku rintih, adu dan mohon pada Dia?
Moga-moga
Dia beri hidayah pada mereka yang terus tidur itu
Walaupun azan bersahutan
Di corong-corong menara masjid dan surau
Mereka tetap terus tidur
Dikejutkan, mereka tidak mahu bangun
Diperli, mereka buat tidak peduli
Setiap hari mereka  tidur
Berselimutkan  kulit binatang
bernajis mughallazah itu
Tanpa ada rasa
apa-apa di hati mereka
Tidakkah mereka terfikir
Bagaimana, jika hari itu
Mereka terus tidur
Tidak bangun-bangun lagi.



Cahaya Humairah
4 Muharram 1438H
5 Oktober 2016
4:15pm

Tuesday, October 04, 2016

Tinta dari Hati ; Hijrah.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum.

Hijrah.

Zulhijjah 1437H telah mula melangkah pergi
Selangkah demi selangkah
Jauh semakin jauh.

Pergi bersama masa
Pergi bersama usia
Pergi bersama dosa

Masa yang makin pantas..
Tinggalkan sisa-sisa usia yang semakin singkat..
Terkumpul bersama dosa-dosa yang penuh kesal.

Aku tahu
Kau Maha Pendengar
Aku tahu
Kau Maha Penyayang
Aku tahu
Kau Maha Pengampun

Aku mohon
Berikan aku masa
Panjangkan usiaku
Terimalah taubatku, ibadahku, amalku
Ampunkan dosa-dosaku
Perkukuhkan imanku
Tanamkanlah istiqomah dalam dadaku
Pahatkan redha akan ujianMu dalam jiwaku
Murahkan rezekiku dan berikan aku rahmatMu
Permudahkan segala urusanku
Terangilah wajahku dengan cahayaMu
Masukkan aku ke dalam salah satu syurgaMu

Ya Rabb.
Tolong...halang lidah ini dari berkata sia-sia
Tolong..halang mata ini dari melihat perkara sia-sia
Tolong..halang telinga ini dari mendengar cerita sia-sia
Tolong...halang kaki dan tangan ini dari melakukan dosa
Tolong..halang hati ini dari sifat amarah dan prasangka
Tolong...halang otak dan akal ini dari memikirkan buruk manusia

Ya Wahhaab.
Biarkan hijrah ini terus kekal
Hingga hujung nafasku
Biarkan kaki ini terus melangkah
Menuju jalan yang Engkau redhai
Biarkan hati ini terus istiqomah
mencari cintaMu
Biarkan lidah ini terus memuji
kebesaranMu

Ya Jaliil.
Yang memegang jiwa-jiwa manusia
Peganglah hatiku Ya Rahman
Pimpinlah tanganku Ya Rahim
Doronglah aku ke jalanMu Ya 'Azhiim
Juga..
Pegang dan pimpin tangan
Mereka yang ku kasihi Ya Allah
Aku tidak mahu berseorangan
Aku mahu bergembira
Aku ingin bahagia
Di syurgaMu bersama mereka
Yang ku sayangi dan amat kasihi
Biarpun aku tahu
Aku tidak layak menghuni tempat yang indah itu
Walau.. sebelah kakiku pun tidak bisa ku jejak pintu JannahMu
Kerana..aku seorang pendosa
Yang masih mencari cinta dan kasihMu, Ilahi.
yang sedang bertatih dalam hijrah, hadiah indah kurniaanMu
Terima Kasih, Tuhan
Kerana..memberiku
Merasai nikmat dan kemanisan hijrah ini.

Ya Ghaffaar.
Kurniakanlah juga
Rasa nikmat dan kemanisan hijrah ini
Kepada mereka yang ku kasihi
Aku mohon..

Amiinn...Ya Rabbal a'lamin.




Cahaya Humairah
1 Muharram 1438H
2 Oktober 2016
02:00pm





Tinta dari Hati ; Rindu.

Bismillahirrahmanirrahim..

Assalamualaikum.


Rindu.

Malam ini, riuh.
Suara berkumpul
Setelah beberapa purnama tidak bertemu
Namun, dalam hati dicuit rindu.

Malam ini, bergema.
Suara memuja Tuhan yang Agung
Menyambut kedatangan Muharram
Tetapi, dalam hati dipenuhi rindu.

Rindu padamu yang telah lama bertemu Sang Khaliq
Rindu pada kenangan yang pernah tercipta bersamamu
Andai masa boleh diputarkan kembali
Aku mahu kutip lebih lagi kenangan denganmu
Berbakti dan berbudi seikhlas hati

Ahh, masa.. mana mungkin berputar kembali
Untuk mengubat rindu itu,
Aku khabarkan kisah kenangan kita pada yang tidak tahu
Bagi merawat rindu itu,
Aku kongsikan kisah indah kita pada yang tahu

Rindu.
Benar, sangat rindu.
Dada ini terasa sempit
Sarat dengan rindu padamu

Ku mohon
Al Mutaqdir menerima hadiahku yang tidak seberapa itu
Agar kamarmu bisa dilapangkan
Agar rumahmu bisa diterangi
Agar dirimu sejahtera di alam sana

Rehatlah di samping Dia
Yang Maha Pengasih
Tenanglah di sisi Dia
Yang Maha Penyayang

Tinggallah...
Menanti waktu dibangkitkan kembali
Semoga kelak, kita bisa dikumpulkan lagi
Di negeri abadi
Bernama Firdausi


Note : Al Fatihah buat arwah atok.
          (Juga buat arwah opah, tokwan dan nenek dan pak ngah Baim)



Cahaya Humairah
1 Muharram1438H
02 Oktober 2016
12:30am








Tuesday, September 27, 2016

Sayu.

Bismillahhirrahmannirrahim.

Assalammualaikum.

Hari ini, tiba-tiba hati rasa sayu. sedih. Sedang bersarapan tiba-tiba air mata menitis, lantas selera ku mati. Sembunyi-sembunyi aku kesat air mata, bimbang dilihat rakan sepejabat. Pagi tadi, aku bangkit dengan penuh rasa kesal. Kesal, kerana tidak dapat menunaikan solat sunat, dua kali Allah kejutkan aku. Pertama kali, Allah hantarkan dua ekor nyamuk pada pukul 3.50pagi. Subhanallah...dua ekor haiwan kecil itu, berkali-kali menghisap darahku sehingga terasa pedih dan rasa gatal sehingga ku terjaga. Namun, aku tangguhkan untuk bangun, kerana mahu bangun pukul 5.00pagi. Kemudian Engkau kejutkan aku lagi pada pukul 5.09pagi, sekali lagi aku bertangguh, mahu tidur sebentar cuma. Aku sia-siakan kesempatan yang Engkau berikan. Jika ibu tidak kejutkan pada pukul 6.20pagi, mungkin hari ini, aku kembali seperti dulu...solat di waktu subuh gajah. Namun, aku masih bersyukur, aku masih sempat mengerjakan solat sunat, solat fardu dan solat qada subuh sebelum matahari menampakkan wajahnya. Alhamdulillah.

Ketika bersarapan, aku masih memikirkan perasaan kesal, sehingga terbawa-bawa ke kisah pada hari Sabtu lepas. Aku bertemu seorang kakak yang aku kenali dari kecil di masjid. Kakak itu bertanya pada aku sejak bila berpurdah dan kenapa, adakah kerana mengikut kumpulan tertentu atau kerana rasa cantik pakai begini?. Anehnya, aku sikitpun tidak berasa kecil hati, dengan tenang aku menjawab.. "baru sahaja dalam sebulan dan kerana gerakan hati". Aku dengar mulutnya mengucapkan subhanallah dengan perlahan.  Aku sambung lagi. "Allah dah lama gerakan rasa hati, tapi aku bertangguh apabila memikirkan tempat kerja, Tapi..Allah tunjukkan, seorang rakan lama, bekerja di jabatan kerajaan memakai niqab dan membukanya ketika bekerja. Aku pula hanya bekerja di sektor swasta. Kakak tu bertanya lagi, pergi kerja pakai begini..bagaimana penerimaan di tempat kerja. Aku jawab, aku akan cuba pakai, jika bos tidak benarkan..aku akan membukanya ketika bekerja..tetapi Alhamdulillah, buat masa ini tiada siapa yang melarang. Tekadku, jika suatu hari nanti, kalau pihak ibu pejabat menggariskan panduan melarang, aku akan membuka purdah ini hanya ketika berada didalam pejabat sahaja.

'Allah gerakkan hati'. Perkataan itu membuatkan aku terus berasa sayu. Iya, Allah gerakkan perasaan ingin berubah ketika menghampiri tahun baru islam 1436H. Ketika itu, aku rasa mahu berubah, mahu membuang semua sikap negatif.. kerana usia sudah makin meningkat.. aku cepat marah, suka bercakap perkara sisa-sia, suka bertangguh solat dan malas membaca al-quran. Ketika itu, aku tuliskan azam untuk berubah, beberapa bulan sedikit demi sedikit aku dapat memenuhi azamku...aku dapat kawal sikap marah dan bercakap perkara sia-sia dengan kurangkan bercakap, aku berjaya menutup aurat dengan sempurna, aku sudah mula solat di awal waktu..cuma solat subuh, ada perubahan sedikit, aku berjaya solat sebelum pukul 7.00pagi dan aku berjaya membaca al- quran setiap kali selepas solat maghrib dan isya'...dan aku berjaya membaca sehingga hampir penghujung al-quran. Juga aku mula belajar redha, berfikiran positif dan bersangka baik. TETAPI...benar kata orang "menerima hidayah itu mudah, untuk istiqomah itu susah". Semakin lama aku kembali sedikit demi sedikit ke perangai lama. Aku kembali mudah marah apabila menghadapi mereka-mereka yang selalu menguji kesabaran ku. Di pejabat, seorang pekeja lelaki dan di rumah adik bongsuku...kadangkala aku kembali suka bercakap perkara sia-sia..tentang aurat pula, kadangkala aku terleka..keluar ke halaman rumah tanpa tudung, pakaian kerjaku betul-betul mengikut bentuk tubuhku, sedangkan aku ada baju kerja yang longgar..alasanku baju itu panas kerana kainnya agak tebal. Astaqfirullah..api neraka, lagi panas kan. Aku  kembali solat subuh di waktu subuh gajah, ada-ada waktu solat aku tangguhkan solat sehingga akhir waktu kerana leka dengan membaca dan menonton tv. Aku lebih suka menghabiskan bacaan atau menghabiskan rancangan yang aku tonton, dan bersolat di betul-betul sudah hujung waktu. Bacaan al-quran pula tidak pernah khatam. Aku semakin culas dan malas. Aku lebih obses dengan buku..sehingga mengabaikan al-quran. Ya Allah, ampunkan aku.

Terima kasih, Ya Allah kau gerakkan hatiku sekali lagi. Sesunguhnya Engkau maha pengasih lagi maha penyayang...mengasihiku dengan menggerakan hatiku, Kau hantar perasaan takut mati. Setiap kali melihat dan mendengar berita kematian mengejut..kau lontarkan perasaan takut ke dalam hatiku. Bagaimana keaadan matiku nanti...adakah dalam keadaan baik atau keadaan tidak baik...adakah Engkau akan menjaga aibku, auratku ketika mati kelak...bagaimana aku berhadapan dengan munkar dan nangkir kelak..tentu sahaja aku akan gagal dalam menjawab soalan dan akan di azab...dan bagaimana pula dengan ibu bapaku nanti, bagaimana dengan adik beradik ku nanti...bagaimana keadaan arwah atok, arwah opah, arwah tok wan dan arwah nenek di alam sana. Memikirkan itu, aku rasa amat takut. Apa yang perlu aku buat untuk terus istiqomah DAN kemudian, Engkau hantar beberapa kisah sebagai bacaan ku..kisah mereka-mereka yang berusaha untuk berubah..kisah gadis yang tidak bertudung kerana kecantikan rambutnya..kemudian nekad menggunting rambut sendiri sehingga pendek, dan mula bertudung..Juga kisah gadis yang mahu berubah tapi sukar, melihat adiknya berubah..dia juga mahu berubah..lalu dia berpurdah untuk istiqomah...Membaca kisah-kisah tersebut aku tekad, untuk berpurdah akhir tahun nanti..kerana memikirkan tempat kerja.. aku perlukan masa untuk persiapkan diri. Tapi, ternyata kita hanya merancang, Allah yang menentukan segala... Allah yang memegang hati manusia... Perancangan Allah sungguh indah..dan segala-galanya Allah permudahkan..dari perancangan hujung tahun 'nanti'...bertukar ke dalam masa tak sampai seminggu..Allah hilangkan rasa 'perlukan masa' ke perasaan tidak sabar menunggu purdah yang saya pesan..Perasaan takut untuk mendengar kata-kata orang kepada perasaan tak kisah apa orang nak kata..Subhanallah Ya Allah. Pada hari pertama, Engkau berikan perasaan tenang setenang tenangnya dalam hatiku. Doa ku, Engkau akan sentiasa menguatkan hatiku untuk terus istiqomah..Engkau berikanlahku sikap sabar. Engkau titiplah hidayahMu dalam hati orang-orang yang kusayang. Jauhi kami dari mati dalam keadaan tidak baik, ringankan seksaan kubur kami kelak..dan kumpulkan kami semua di syurgaMu nanti, Ya Allah...


25 Zulhijjah 1437H.