Tuesday, September 27, 2016

Sayu.

Bismillahhirrahmannirrahim.

Assalammualaikum.

Hari ini, tiba-tiba hati rasa sayu. sedih. Sedang bersarapan tiba-tiba air mata menitis, lantas selera ku mati. Sembunyi-sembunyi aku kesat air mata, bimbang dilihat rakan sepejabat. Pagi tadi, aku bangkit dengan penuh rasa kesal. Kesal, kerana tidak dapat menunaikan solat sunat, dua kali Allah kejutkan aku. Pertama kali, Allah hantarkan dua ekor nyamuk pada pukul 3.50pagi. Subhanallah...dua ekor haiwan kecil itu, berkali-kali menghisap darahku sehingga terasa pedih dan rasa gatal sehingga ku terjaga. Namun, aku tangguhkan untuk bangun, kerana mahu bangun pukul 5.00pagi. Kemudian Engkau kejutkan aku lagi pada pukul 5.09pagi, sekali lagi aku bertangguh, mahu tidur sebentar cuma. Aku sia-siakan kesempatan yang Engkau berikan. Jika ibu tidak kejutkan pada pukul 6.20pagi, mungkin hari ini, aku kembali seperti dulu...solat di waktu subuh gajah. Namun, aku masih bersyukur, aku masih sempat mengerjakan solat sunat, solat fardu dan solat qada subuh sebelum matahari menampakkan wajahnya. Alhamdulillah.

Ketika bersarapan, aku masih memikirkan perasaan kesal, sehingga terbawa-bawa ke kisah pada hari Sabtu lepas. Aku bertemu seorang kakak yang aku kenali dari kecil di masjid. Kakak itu bertanya pada aku sejak bila berpurdah dan kenapa, adakah kerana mengikut kumpulan tertentu atau kerana rasa cantik pakai begini?. Anehnya, aku sikitpun tidak berasa kecil hati, dengan tenang aku menjawab.. "baru sahaja dalam sebulan dan kerana gerakan hati". Aku dengar mulutnya mengucapkan subhanallah dengan perlahan.  Aku sambung lagi. "Allah dah lama gerakan rasa hati, tapi aku bertangguh apabila memikirkan tempat kerja, Tapi..Allah tunjukkan, seorang rakan lama, bekerja di jabatan kerajaan memakai niqab dan membukanya ketika bekerja. Aku pula hanya bekerja di sektor swasta. Kakak tu bertanya lagi, pergi kerja pakai begini..bagaimana penerimaan di tempat kerja. Aku jawab, aku akan cuba pakai, jika bos tidak benarkan..aku akan membukanya ketika bekerja..tetapi Alhamdulillah, buat masa ini tiada siapa yang melarang. Tekadku, jika suatu hari nanti, kalau pihak ibu pejabat menggariskan panduan melarang, aku akan membuka purdah ini hanya ketika berada didalam pejabat sahaja.

'Allah gerakkan hati'. Perkataan itu membuatkan aku terus berasa sayu. Iya, Allah gerakkan perasaan ingin berubah ketika menghampiri tahun baru islam 1436H. Ketika itu, aku rasa mahu berubah, mahu membuang semua sikap negatif.. kerana usia sudah makin meningkat.. aku cepat marah, suka bercakap perkara sisa-sia, suka bertangguh solat dan malas membaca al-quran. Ketika itu, aku tuliskan azam untuk berubah, beberapa bulan sedikit demi sedikit aku dapat memenuhi azamku...aku dapat kawal sikap marah dan bercakap perkara sia-sia dengan kurangkan bercakap, aku berjaya menutup aurat dengan sempurna, aku sudah mula solat di awal waktu..cuma solat subuh, ada perubahan sedikit, aku berjaya solat sebelum pukul 7.00pagi dan aku berjaya membaca al- quran setiap kali selepas solat maghrib dan isya'...dan aku berjaya membaca sehingga hampir penghujung al-quran. Juga aku mula belajar redha, berfikiran positif dan bersangka baik. TETAPI...benar kata orang "menerima hidayah itu mudah, untuk istiqomah itu susah". Semakin lama aku kembali sedikit demi sedikit ke perangai lama. Aku kembali mudah marah apabila menghadapi mereka-mereka yang selalu menguji kesabaran ku. Di pejabat, seorang pekeja lelaki dan di rumah adik bongsuku...kadangkala aku kembali suka bercakap perkara sia-sia..tentang aurat pula, kadangkala aku terleka..keluar ke halaman rumah tanpa tudung, pakaian kerjaku betul-betul mengikut bentuk tubuhku, sedangkan aku ada baju kerja yang longgar..alasanku baju itu panas kerana kainnya agak tebal. Astaqfirullah..api neraka, lagi panas kan. Aku  kembali solat subuh di waktu subuh gajah, ada-ada waktu solat aku tangguhkan solat sehingga akhir waktu kerana leka dengan membaca dan menonton tv. Aku lebih suka menghabiskan bacaan atau menghabiskan rancangan yang aku tonton, dan bersolat di betul-betul sudah hujung waktu. Bacaan al-quran pula tidak pernah khatam. Aku semakin culas dan malas. Aku lebih obses dengan buku..sehingga mengabaikan al-quran. Ya Allah, ampunkan aku.

Terima kasih, Ya Allah kau gerakkan hatiku sekali lagi. Sesunguhnya Engkau maha pengasih lagi maha penyayang...mengasihiku dengan menggerakan hatiku, Kau hantar perasaan takut mati. Setiap kali melihat dan mendengar berita kematian mengejut..kau lontarkan perasaan takut ke dalam hatiku. Bagaimana keaadan matiku nanti...adakah dalam keadaan baik atau keadaan tidak baik...adakah Engkau akan menjaga aibku, auratku ketika mati kelak...bagaimana aku berhadapan dengan munkar dan nangkir kelak..tentu sahaja aku akan gagal dalam menjawab soalan dan akan di azab...dan bagaimana pula dengan ibu bapaku nanti, bagaimana dengan adik beradik ku nanti...bagaimana keadaan arwah atok, arwah opah, arwah tok wan dan arwah nenek di alam sana. Memikirkan itu, aku rasa amat takut. Apa yang perlu aku buat untuk terus istiqomah DAN kemudian, Engkau hantar beberapa kisah sebagai bacaan ku..kisah mereka-mereka yang berusaha untuk berubah..kisah gadis yang tidak bertudung kerana kecantikan rambutnya..kemudian nekad menggunting rambut sendiri sehingga pendek, dan mula bertudung..Juga kisah gadis yang mahu berubah tapi sukar, melihat adiknya berubah..dia juga mahu berubah..lalu dia berpurdah untuk istiqomah...Membaca kisah-kisah tersebut aku tekad, untuk berpurdah akhir tahun nanti..kerana memikirkan tempat kerja.. aku perlukan masa untuk persiapkan diri. Tapi, ternyata kita hanya merancang, Allah yang menentukan segala... Allah yang memegang hati manusia... Perancangan Allah sungguh indah..dan segala-galanya Allah permudahkan..dari perancangan hujung tahun 'nanti'...bertukar ke dalam masa tak sampai seminggu..Allah hilangkan rasa 'perlukan masa' ke perasaan tidak sabar menunggu purdah yang saya pesan..Perasaan takut untuk mendengar kata-kata orang kepada perasaan tak kisah apa orang nak kata..Subhanallah Ya Allah. Pada hari pertama, Engkau berikan perasaan tenang setenang tenangnya dalam hatiku. Doa ku, Engkau akan sentiasa menguatkan hatiku untuk terus istiqomah..Engkau berikanlahku sikap sabar. Engkau titiplah hidayahMu dalam hati orang-orang yang kusayang. Jauhi kami dari mati dalam keadaan tidak baik, ringankan seksaan kubur kami kelak..dan kumpulkan kami semua di syurgaMu nanti, Ya Allah...


25 Zulhijjah 1437H.


Monday, September 26, 2016

Atok.

Bismillahhirrahmannirrahim.

Assalamualaikum.

Atok, antara orang yang di segani dan di hormati di kampungku. Atok seorang yang warak. Atok berasal dari Sumatera, Indonesia. Cerita ayah, atok mempunyai ramai adik beradik. Ketika berusia belasan tahun..atok menaiki tongkang berhijrah ke Semenanjung Malaysia. Apabila umur atok sudah layak untuk berkahwin. Keluarga atok sudah sepakat untuk mengahwinkan atok dengan opah. Lantas, opah dibawa dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia. Kata ayah lagi, ada gadis kampung yang kecewa kerana menyimpan perasaan pada atok.. dan gadis tersebut tidak berkahwin sehingga ke hujung usia..Jujur, aku amat bersyukur, apabila atok membuat keputusan berhijrah ke Semenanjung Malaysia. Awal tahun 2000 ayah dan ibu menziarahi keluarga di sana, kata ibu.. mereka hidup susah seperti keaadaan ibu masa tahun 1970an. Aku simpati apabila mendengar cerita tentang mereka. 

Aku lebih rapat dengan atok. Atok sering menjagaku, ketika ibu sibuk memasak di dapur. Bawa aku jalan-jalan dengan basikal tuanya..adakalanya pergi ke kedai membeli gula-gula. Mengingatkan itu, aku rindu atok. Aku tidak rapat dengan opah, opah lebih memanjakan kakak. Adakalanya, aku cemburu apabila melihat opah melebihkan kakak.

Atok, seorang guru mengaji. Mengajar anak-anak kampung Al-quran. Malah, atok juga mengajar aku dan kakak mengaji. Kata ayah, kanak-kanak di kampung akan membersihkan halaman rumah atau mengangkat air dari sungai sebagai upah belajar mengaji. Apa yang ingat, aku sering culas dan mengelak untuk mengaji. Ketika atok mengajar kakak mengaji dan aku akan buat-buat tidur, sudahnya..atok akan menyuruh aku masuk ke bilik. 

Atok juga merupakan pengamal perubatan islam. Aku masih ingat, ada yang datang untuk berubat, ada yang datang kerana tiada zuriat dan ada yang datang untuk mencari barang yang hilang. Aku sering curi-curi melihat, apabila ada orang datang untuk meminta bantuan atok. Atok akan menggunakan kunci lama dan Al-quran lama....dan atok juga akan membaca beberapa ayat al-quran. Alhamdulillah...dengan izin Allah, aku pernah lihat seorang gadis yang kehilangan cincin emas menemuinya tidak lama kemudian. Ibu juga pernah bercerita, tentang seorang perempuan yang sukar hamil, dengan izin Allah..dia hamil setiap tahun sehingga datang semula berjumpa atok minta ubat untuk berhenti hamil. Apabila atok meninggal dunia pada tahun 1994, kunci lama itu hilang entah ke mana, hanya yang tinggal al-quran lama yang sudah semakin lusuh dalam simpananku.

Atok jatuh sakit selepas terjatuh usai solat subuh. Sejak itu, atok tidak boleh berjalan. Hanya mengesot dengan bantuan ayah. Seingat aku, selama lebih tiga tahun..atok berkeadaan begitu.  Aku masih ingat, jika ayah berkursus, aku dan  kakak akan diberi upah untuk menjaga atok. Biarpun begitu, aku kagum melihat atok..dalam keaadan begitu, tetap tidak pernah meninggalkan solat. Atok bersunggu-sungguh menjaga solatnya sehingga akhir hayatnya, walaupun dalam keadaan duduk.

Aku rindu atok..setiap malam, sebelum tidur aku akan sedekahkan surah Al-Mulk kepada atok. Juga kepada opah, tok wan, nenek dan pak ngah Baim. Moga-moga amalanku itu diterima Allah..moga-moga kubur mereka dilapangkan dan moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. 


Cahaya Humairah
24 Zulhijjah 1437H







Wednesday, September 21, 2016

Rumah Di Seberang Titi.



Bismillahhirrahmannirrahim.


Assalamualaikum.


Aku lahir di hospital daerah di sebuah pekan kecil di semenanjung tanah air. Aku anak kedua. Aku dibesarkan di sebuah kampung yang tidak terpercil tetapi masih tidak tercemar dengan arus kemodenan. Waktu itu kampungku masih hijau, air sungai mengalir jernih, bunyi cengkerik, unggas-unggas dan katak sering sahut menyahut, air bukit yang mengalir dari tadahan batang buluh di tepi rumah sangat sejuk. Aku tinggal di sebuah rumah papan, rumah pusaka. Aku tinggal bersama atok, opah, ayah, ibu dan ketika itu kami lima beradik. Rumahku agak terpencil. Jauh dari jalan utama, untuk kerumah ku, perlu meletakkan kereta diseberang titi kecil, dan berjalan kaki hingga selang tiga buah rumah kampung. Namun, aku suka tinggal di rumah pusaka itu.


Musim tengkujuh, adalah musim yang sangat aku suka. Aku akan berlari sekeliling rumah bermain hujan, tanpa siapa pernah tegah. Bila air sungai naik, alhamdulillah rumahku di tanah tinggi tidak pernah banjir. Tetapi, air sungai deras akan menenggelamkan titi dan kami akan terputus hubungan dengan jalan keluar kampung dan paling seronok, aku tidak perlu ke sekolah. Aku boleh bermain basikal mengelilingi rumah.


Aku rindu rumah itu. Suasana itu. Jika dapat diputarkan masa, aku mahu terus tinggal di situ. Tetapi, apakan daya, keputusan ditangan ibu ayahku. Ketika berusia 12 tahun. Setelah atok dan opahku meninggal dunia. Kami berpindah ke pekan, dan tinggallah rumah pusaka itu terbiar usang.






Cahaya Humairah
19 Zulhijjah 1437H




Aku.



Bismillahhirrahmannirrahim.


Assalammualaikum.


Cahaya Humairah bukan nama sebenarku. Cahaya; kerana aku sedang mencari cahaya Ilahi dan Humairah, panggilan Nabi Muhammad s.a.w pada isterinya, Aishah bermaksud pipi kemerah-merahan. Aku suka nama itu. Seringkali, aku persoalkan pada ibuku kenapa tidak menamakan aku dengan nama itu. Waktu kecil, aku sering bangga, dengan kulitku lebih cerah berbanding adik beradikku yang lain (tetapi tidaklah putih kemerah-merahan). Aku sering persoalkan, nama sebenar ku. Aku tidak suka, bagiku tiada maksud dalam bahasa arab. Astagfirullah. Mengenangkan itu, aku sangat kesal...kenapa dulu aku sering tidak bersyukur..sekurang-kurangnya nama itu tidak bermaksud benda tidak elok...Dan di blog ini, aku tidak akan memberitahu nama sebenarku, kerana aku dapat rasakan hanya aku seorang sahaja punyai nama itu. Nama yang unik.


Blog ini, bertujuan sebagai pedoman untuk diriku supaya terus istiqomah dan sentiasa berusaha untuk berubah. Aku bukan siapa-siapa, perjalanan hidupku juga biasa-biasa sahaja. Tapi, mungkin boleh dijadikan pedoman..kepada pembaca supaya bersyukur dengan nikmat yang Dia berikan..walaupun sekecil-kecil nikmat. Alhamdulillah.


Blog ini, adalah tinda dari hati dalam kembaraku...dari mula bertatih, kemudian alpa dan letih...dan kini, sedang berusaha memperbaiki diri mencari cahaya cintaMu, Ilahi...




Cahaya Humairah
19 Zulhijjah 1437H