Monday, September 26, 2016

Atok.

Bismillahhirrahmannirrahim.

Assalamualaikum.

Atok, antara orang yang di segani dan di hormati di kampungku. Atok seorang yang warak. Atok berasal dari Sumatera, Indonesia. Cerita ayah, atok mempunyai ramai adik beradik. Ketika berusia belasan tahun..atok menaiki tongkang berhijrah ke Semenanjung Malaysia. Apabila umur atok sudah layak untuk berkahwin. Keluarga atok sudah sepakat untuk mengahwinkan atok dengan opah. Lantas, opah dibawa dari Sumatera ke Semenanjung Malaysia. Kata ayah lagi, ada gadis kampung yang kecewa kerana menyimpan perasaan pada atok.. dan gadis tersebut tidak berkahwin sehingga ke hujung usia..Jujur, aku amat bersyukur, apabila atok membuat keputusan berhijrah ke Semenanjung Malaysia. Awal tahun 2000 ayah dan ibu menziarahi keluarga di sana, kata ibu.. mereka hidup susah seperti keaadaan ibu masa tahun 1970an. Aku simpati apabila mendengar cerita tentang mereka. 

Aku lebih rapat dengan atok. Atok sering menjagaku, ketika ibu sibuk memasak di dapur. Bawa aku jalan-jalan dengan basikal tuanya..adakalanya pergi ke kedai membeli gula-gula. Mengingatkan itu, aku rindu atok. Aku tidak rapat dengan opah, opah lebih memanjakan kakak. Adakalanya, aku cemburu apabila melihat opah melebihkan kakak.

Atok, seorang guru mengaji. Mengajar anak-anak kampung Al-quran. Malah, atok juga mengajar aku dan kakak mengaji. Kata ayah, kanak-kanak di kampung akan membersihkan halaman rumah atau mengangkat air dari sungai sebagai upah belajar mengaji. Apa yang ingat, aku sering culas dan mengelak untuk mengaji. Ketika atok mengajar kakak mengaji dan aku akan buat-buat tidur, sudahnya..atok akan menyuruh aku masuk ke bilik. 

Atok juga merupakan pengamal perubatan islam. Aku masih ingat, ada yang datang untuk berubat, ada yang datang kerana tiada zuriat dan ada yang datang untuk mencari barang yang hilang. Aku sering curi-curi melihat, apabila ada orang datang untuk meminta bantuan atok. Atok akan menggunakan kunci lama dan Al-quran lama....dan atok juga akan membaca beberapa ayat al-quran. Alhamdulillah...dengan izin Allah, aku pernah lihat seorang gadis yang kehilangan cincin emas menemuinya tidak lama kemudian. Ibu juga pernah bercerita, tentang seorang perempuan yang sukar hamil, dengan izin Allah..dia hamil setiap tahun sehingga datang semula berjumpa atok minta ubat untuk berhenti hamil. Apabila atok meninggal dunia pada tahun 1994, kunci lama itu hilang entah ke mana, hanya yang tinggal al-quran lama yang sudah semakin lusuh dalam simpananku.

Atok jatuh sakit selepas terjatuh usai solat subuh. Sejak itu, atok tidak boleh berjalan. Hanya mengesot dengan bantuan ayah. Seingat aku, selama lebih tiga tahun..atok berkeadaan begitu.  Aku masih ingat, jika ayah berkursus, aku dan  kakak akan diberi upah untuk menjaga atok. Biarpun begitu, aku kagum melihat atok..dalam keaadan begitu, tetap tidak pernah meninggalkan solat. Atok bersunggu-sungguh menjaga solatnya sehingga akhir hayatnya, walaupun dalam keadaan duduk.

Aku rindu atok..setiap malam, sebelum tidur aku akan sedekahkan surah Al-Mulk kepada atok. Juga kepada opah, tok wan, nenek dan pak ngah Baim. Moga-moga amalanku itu diterima Allah..moga-moga kubur mereka dilapangkan dan moga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka. 


Cahaya Humairah
24 Zulhijjah 1437H







No comments:

Post a Comment